Kajian Keberkesanan Penggunaan Projek Inovasi Sistem Invenmed Dalam Pengurusan Inventori Ubat-Ubatan
Abstract
Sistem InvenMed merupakan satu sistem yang dihasilkan bagi membantu Klinik Kamsis Politeknik Seberang Perai dalam memantapkan lagi kaedah pengurusan dan perekodan data berkaitan inventori ubat-ubatan dan maklumat pesakit. Sistem InvenMed ini dibangunkan dengan menggunakan perisian HTML, APK, PHP dan Cloud Hosting yang merupakan sebuah platform yang dibangunkan oleh pemaju aplikasi yang berpengalaman. Tujuan penghasilan Sistem InvenMed (1) memudahkan pembantu perubatan dalam merekod, mengemaskini dan menyemak data pembelian dan keluar masuk ubat-ubatan dan 2) mudah dalam proses mendapatkan maklumat yang berkaitan dengan inventori dan pesakit. Antara ciri-ciri yang disediakan di dalam Sistem InvenMed (1) pengguna dapat mengetahui jenis ubat-ubatan yang sering keluar, dan (2) boleh mengetahui rawatan yang sering diperolehi oleh pelajar politeknik. Langkah membangunkan Sistem InvenMed ini adalah untuk (1) memilih perisian pembangun sistem (2) pendaftaran masuk pengguna (3) memasukkan data berkenaan ubat, pembekal dan pesakit dan (4) mengemaskini maklumat dari masa ke semasa. Setelah sistem ini dibangunkan, ianya diuji oleh pengkaji dan pembantu perubatan. Hasil dapatan daripada temubual bersama pembantu perubatan yang diperolehi, (1) dapat meringankan beban pegawai perubatan untuk merekod data dan maklumat, (2) dapat memberi dan menyediakan maklumat yang tepat pada masa yang diperlukan dan (3) sistem ini mudah untuk digunakan dan difahami serta mempunyai beberapa keupayaan yang tinggi dalam membantu menguruskan data dengan sistematik. Bagi mempertingkatkan lagi Sistem InvenMed yang dihasilkan ini, adalah dicadangkan fungsi inventori dan paparan perlu ditingkatkan supaya sistem ini menjadi satu sistem yang lebih lengkap seperti (1) rekod jenis penyakit dan, (2) bilangan kekerapan menerima rawatan. Diharapkan dengan pembangunan Sistem Invenmed ini, ianya dapat membantu pengguna terutama pegawai perubatan dan kakitangan klinik dalam menguruskan klinik dengan lebih cekap dan efisien. Akhir sekali, Sistem InvenMed ini amat sesuai untuk dikomersialkan kepada pihak klinik secara khususnya dan mana-mana pihak pengurusan secara umumnya bagi tujuan merekod, mengemaskini dan menyemak data.