Luas Perahu Menggunakan Hukum Trapezium Dan Hukum Simpson
Keywords:
Perahu, truktur, Matematik, luas, hukum, ukuranAbstract
Perahu merupakan satu daripada aspek budaya dan tamadun masyarakat maritim. Menurut Nik Hassan, Kamarudin dan Muhd Yusof (2006), perahu berasal daripada perkataan Melayu/Indonesia yang digunakan untuk semua jenis kenderaan air tanpa mengira saiz atau bentuk. Perkataan perahu dalam Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud kenaikan daripada kayu di air dan biasanya tidak mempunyai geladak. Perahu merupakan satu daripada pengangkutan air yang popular pada suatu masa dahulu dan digunakan sama ada di tasik, sungai atau laut. Hal ini demikian kerana, penempatan awal tamadun manusia adalah berdekatan dengan sumber air. Kehidupan yang berdekatan dengan sumber air telah menjadikan sungai dan laut sebagai jalan untuk berhubung antara satu sama lain dan seterusnya telah memberi ilham kepada manusia untuk mencipta pengangkutan yang sesuai dengan jalan air seperti perahu. Setiap perahu yang dicipta mestilah mempunyai struktur yang sempurna agar perahu tidak mudah rosak apabila dipukul ombak. Bukan itu sahaja, bahan yang digunakan untuk membuat perahu juga mestilah bersifat tahan lasak iaitu dapat tahan daripada panas terik matahari, hujan dan terapung di air. Perkembangan teknologi dalam bidang pengangkutan air telah menyebabkan penggunaan perahu di Semenanjung Malaysia semakin berkurang. Namun demikian, penggunaan perahu oleh para nelayan kecil di kawasan-kawasan pedalaman masih lagi dikekalkan. Hal ini bertujuan untuk menjamin keaslian budaya masyarakat maritim agar tidak hilang ditelan zaman. Penciptaan pelbagai jenis perahu menunjukkan bahawa setiap perahu yang dibina mempunyai bentuk dan saiz yang berbeza. Untuk membina sebuah perahu yang dapat berfungsi dengan baik, banyak konsep Matematik digunakan. Kajian ilmiah yang dilakukan tertumpu dalam menentukan ukuran utama perahu dan luas perahu menggunakan hukum-hukum Matematik.